Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Penghijrahan beramai-ramai pelabur keluar dari China secara tidak langsung turut memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, China merangkumi 16 peratus daripada keseluruhan dagangan Malaysia yang berjumlah RM1.5 trillion tahun lalu.

“Apabila pelabur beramai-ramai keluar daripada China, pastinya ini adalah situasi yang membimbangkan kita.

“Apa jua keadaan ekonomi domestik China, ia pasti memberi kesan langsung kepada Malaysia kerana pada tahun lalu, 16 peratus daripada keseluruhan dagangan Malaysia adalah dengan China,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Gotong-Royong Projek Perumahan Rakyat Jelatek dekat sini hari ini.

Penghijrahan keluar modal dari China sejak beberapa bulan diramalkan semakin serius malah banyak bank-bank utama Asia telah memberi amaran berhubung perkara ini.

Impak paling jelas kepada Malaysia setakat ini adalah penutupan kesemua pusat jualan projek perumahan Forest City di tanah besar China.

Dua hari lalu, media South China Morning Post membuat tinjauan di pusat pameran terbesar projek berkenaan di Shanghai yang dibuka sejak Oktober tahun lalu mendapati pagarnya telah dikunci manakala ruang pameran pula kosong.

Projek Forest City yang merangkumi kawasan seluas 14 kilometer persegi di atas empat pulau buatan manusia di Johor merupakan salah satu hartanah luar negara yang terkenal dalam kalangan rakyat China berikutan promosi besar-besaran syarikat milik kerajaan China, Country Garden.

Malah menurut salah seorang bekas ejen jualan di Country Garden, 90 peratus daripada pembeli Forest City adalah rakyat China.

Kerajaan China yang turut bimbang dengan penghijrahan keluar modal secara besar-besaran itu telah mengambil beberapa tindakan antaranya melarang rakyat negara tersebut menyukar yuan kepada matawang lain bagi pembelian hartanah luar negara.-MalaysiaGazette