Salleh Said Keruak.

CYBERJAYA –  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini berkata, kuasa untuk menapis filem di negara ini adalah bidang kuasa Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Isu menapis dan membenarkan tayangan sesebuah filem tempatan atau dari luar negara tidak terletak di bawah bidang kuasa kementerian itu, katanya lagi.

Dalam perkara ini, kata Salleh, isu penangguhan filem Disney Hollywood, Beauty and the Beast di Malaysia tidak berada di bawah kementeriannya.

“Kuasa untuk isu penapisan filem di negara ini di tangan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang terletak di bawah penyeliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepenuhnya. Eloklah tanya mereka apa kedudukan sebenarnya.

“Ia bukan juga di bawah kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau KKMM).

“LPF di bawah KDN, eloklah tanya mereka apa kedudukan sebenarnya,” katanya ketika ditanya pemberita selepas beliau merasmikan portal SEBENAR.MY di sini.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkembangan terbaharu tayangan filem itu di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, filem yang ditunggu-tunggu itu telah diluluskan untuk tayangan di negara ini.

Filem terbitan Walt Disney, Beauty and the Beast yang sedang menunggu hari untuk ditayangkan di negara ini. - Foto: Disney
Filem terbitan Walt Disney, Beauty and the Beast yang sedang menunggu hari untuk ditayangkan di negara ini. – Foto: Disney

“LPF telah meluluskan (Beauty and the Beast) dengan klasifikasi P13.

“Filem ini boleh ditayangkan bila-bila masa yang dikehendaki oleh pihak pengedar sah di negara ini,” katanya menerusi pesanan WhatsApp ketika dihubungi tengah hari tadi. – MalaysiaGazette