Reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan mengulas soalan wartawan berhubung perkembangan rundingan Kerajaan Malaysia dan Korea Utara ketika keluar dari Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 16 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Rundingan bersama antara Malaysia dan Korea Utara belum diadakan buat masa ini berhubung krisis yang melanda kedua-dua negara itu berkaitan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan melakukan rundingan secara formal dengan negara berkenaan tetapi belum pasti bila akan diadakan.

“Apabila sampai masanya nanti kita akan melakukan rundingan formal dengan pihak Korea Utara,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Najib berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai langkah seterusnya bagi kerajaan bagi menyelesaikan kemelut berhubung krisis antara Kuala Lumpur dan Pyongyang.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, satu rundingan rasmi dengan kerajaan Korea Utara akan dibuat dalam masa terdekat sebagai usaha membawa pulang sembilan kakitangan kedutaan Malaysia yang masih terkandas selepas dihalang keluar dari negara itu.

Sehingga kini terdapat tiga perbincangan tidak rasmi telah dibuat bersama Kaunselor Kedutaan dan agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat persediaan rundingan rasmi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, rakyat Malaysia yang berada di Pyongyang kini dalam keadaan selamat.

Malah beliau menasihatkan orang ramai terutamanya ahli keluarga mereka tidak bimbang dan risau kerana Malaysia akan mencari jalan terbaik dalam menangani isu berkenaan.

“Dalam pada itu kita dapati bahawa rakyat kita di Korea Utara berada dalam keadaan terjamin mengenai keselamatan mereka, jadi tidak perlu bimbang. Itu sahaja setakat ini dan kalau ada apa-apa nanti saya akan maklumkan,” katanya lagi.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Chol, yang telah disahkan polis sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lalu.

Ia sekaligus mengakibatkan sembilan rakyat Malaysia masih berada disana kerana tidak dibenarkan meninggalkan negara itu buat masa ini. -MalaysiaGazette.