Walt Disney menarik balik sepenuhnya filem terbaharu tahun ini, Beauty and the Beast daripada ditayangkan dengan penapisan di Malaysia.- Foto: Disney

NEW YORK – Syarikat penerbit filem Hollywood, Walt Disney tidak membenarkan penapisan pada tahap minimum terhadap filem Beauty And The Beast di Malaysia.

Susulan tindakan itu, Disney menarik balik filem itu daripada ditayangkan di semua pawagam di negara ini.

Walt Disney membuat keputusan itu dan tidak sanggup membenarkan adegan ‘gay’ ditapis seperti yang dikehendaki Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPFM).

“Filem itu tidak akan ditapis semata-mata untuk ditayangkan di Malaysia,” beritahu wakil Disney seperti laporan Independent.co.uk.

Rantaian pawagam terbesar Malaysia Golden Screen Cinemas (GSC) Isnin lalu telah diarahkan oleh Disney untuk menangguhkan tayangan filem tersebut.

Filem yang dinanti-nantikan masyarakat semua peringkat umur di negara ini secara asasnya ditapis secara minimum oleh LPFM.

Pengerusi LPFM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid memberitahu Associated Press;”Kita telah meluluskan filem itu tetapi dengan penapisan minimum membabitkan adegan gay.

“Ia sangat pendek tetapi tidak sesuai kerana ramai kanak-kanak akan menonton filem itu nanti,” katanya.

beauty and the beast
Josh Gad memainkan peranan karakter Gay sebagai LeFou dalam filem Beauty and the Beast

Sementara itu, Perssatuan Motion Pictures Amerika Syarikat memberitahu, Malaysia bukan antara 20 pasaran filem terbesar dunia dan Disney tidak sanggup membenarkan filemnya ditayangkan dengan penapisan walaupun pada tahap sangat minimum.

Di Rusia, penapisan sepenuhnya terhadap filem itu diluluskan tetapi hanya membenarkan penonton berusia 16 tahun dan ke atas sahaja.

Beauty And The Beast akan ditayangkan di United Kingdom pada 17 Mac ini.- MalaysiaGazette