Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

CYBERJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akui berdepan kesukaran mencari calon yang cukup syarat untuk bertanding pada pilihan raya umum.

Beliau berkata, semua calon-calon dipilih oleh Dewan Ulamak yang diberi tanggungjawab mencari dan menilai berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan.

Bagaimanapun, kata beliau, semua calon itu akan ditapis oleh Jawatankuasa Pas Pusat dan diletakkan di kawasan Dewan Undangan Negeri serta Parlimen untuk bertanding.

“Memang payah nak cari calon yang cukup pakej. Ini masalah yang kita hadapi setiap kali PRU,” katanya menjawab soalan peserta dailog pada Konvensyen Profesional Malaysia (K-Pro) di Promenade Garden Residence di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Program itu bertujuan menghimpunkan para profesional bagi membincangkan idea Kerajaan Teknorat.

Menjawab soal lain, Abdul Hadi berkata, sepanjang memerintah Kelantan dan sebelum ini Terengganu, Pas mengamalkan konsep pembahagian tugas antara parti, kerajaan dengan penjawat awam secara kolektif.

Sebab itu katanya, Pas tidak memecat atau memberi tekanan kepada kakitangan awam yang menyokong kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN).

“Sebaliknya kita tangani mereka secara berilmu. Kita galakkan mereka menyumbangkan ilmu masing-masing untuk kebaikan kerajaan baharu.

“Ini kaedah dilakukan Nabi Muhammad SAW terhadap musuh perangnya. Baginda guna ilmu dan kepakaran musuh untuk kepentingan kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyentuh mengenai hudud yang mana ramai tidak faham hukumnya.

“Bila sebut hudud, mereka hanya tahu potong tangan. Padahal hudud ialah hukuman yang boleh memberi kesedaran,” katanya. – MalaysiaGazette