Peniaga, Ishak Shaari ketika ditemuramah tinjauan harga barang di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga mengakui Pasar Sungai Besi kerap ‘diintai’ oleh pihak berkuasa sejak tahun lalu untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Bagaimanapun, Ishak Shaari berkata, setakat ini tidak ada peniaga di pasar itu didakwa.

Ini kerana, peniaga-peniaga di pasar itu tidak melanggar peraturan atau melakukan kesalahan menaikkan harga.

“Memang selalu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengadakan tinjauan, pemeriksaan di pasar ini.

“Mereka datang mungkin sebab ada pembeli komplen tetapi setakat yang diketahui tidak ada tindakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan menaikkan harga barang,” kata Ishak.

Ishak yang berniaga ikan berkata, peniaga-peniaga di Pasar Sungai Besi gembira dengan kehadiran pihak penguatkuasa kerana ia memberi gambaran positif kepada pengguna.

“Apabila ada penguatkuasa datang periksa setiap premis di pasar ini, menunjukkan peniaga di sini tidak menipu pelanggan. Kami berniaga secara betul,” katanya yang rungsing kerana pasar itu semakin sepi sejak kenaikan harga barang begitu terasa sejak awal tahun ini.

Selain pembeli semakin berhemah berbelanja, Ishak berkata, kewujudan pasar-pasar raya di kawasan sekitar juga memberi cabaran kepada peniaga pasar itu.

Katanya, dalam keadaan kenaikan kos yang meningkat pengguna lebih memilih untuk membeli di pasar raya kerana harga jauh lebih murah meskipun ikan, daging atau ayam yang dijual tidak segar.

“Jangan banding harga pasar dan pasar raya kerana di pasar barang-barang adalah segar dan sejuk beku. Lantaran itu harga lebih sedikit berbanding pasar raya,” katanya.

Situasi itu menyebabkan kehidupan peniaga di pasar semakin sukar namun hidup perlu diteruskan kerana ia adalah pekerjaan sejak muda.

Ishak berkata, kejatuhan jumlah pembeli di pasar itu amat ketara berbanding dua tahun lalu menyebabkan ada peniaga hanya menjual pada hujung minggu sahaja. – MalaysiaGazette