PERMATANG PAUH – Mesyuarat Agung Tahunan Pas di kawasan Permatang Kawasan Pauh sebulat suara menganjurkan Pas Pusat memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Menurut Yang Dipertuanya, Omar Hasan usul itu dibawa ke mesyuarat bagi mendapat perhatian daripada Pas Pusat.

Jelasnya, Pas Permatang Pauh mengemukakan tiga alasan atas usul berkenaan.

Antaranya, PKR Pulai Pinang tidak menghormati Pas sebagai rakan tahaluf apabila terus bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) untuk menyerang parti dan pimpinan Pas.

“PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli Pas untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Pas.

“Lebih memudaratkan, terdapat aduan daripada ahli Pas bahawa PKR meminta ahli Pas berkenaan keluar daripada Pas dan sertai PKR bagi tujuan memegang jawatan tertentu di dalam kerajaan. Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setiakawan dan boleh menjejaskan Pas,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat kali ke 40 itu.

Ujarnya lagi, PKR gagal membela dan mempertahankan Islam di negeri ini apabila secara terang-terangan menurut kehendak DAP dengan mencampuri urusan pemfatwaan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“Terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan dan ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui Exco Agama Kerajaan Negeri Pulai Pinang. Tindakan tidak bertanggungjawab Exco Agama ini menunjukkan kepentingan politik PKR lebih diutamakan mendahului kepentingan Islam. Pas tidak boleh bersetuju dengan keadaan ini,” katanya lagi.

Berdasarkan itu, tindakan PKR itu jelas bertentangan dengan prinsip tahaluf siyasi yang dipegang oleh kedua-dua parti, malah turut menjejaskan kedudukan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam berhadapan dengan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak. -MalaysiaGazette.