GENEVA – Dua daripada lima rakyat Korea Utara kekurangan zat makanan dan lebih daripada 70 peratus daripada penduduk bergantung kepada bantuan makanan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam satu laporan baru-baru ini, PBB berkata, kebanyakan warga Korea Utara juga tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan asas.

Cirit-birit dan radang paru-paru adalah dua punca utama kematian kanak-kanak di bawah lima tahun, kata laporan itu.

Keperluan asas manusia telah diburukkan lagi dengan bencana alam berulang, seperti banjir yang kerap dan kemarau.

“Di tengah-tengah ketegangan politik, dianggarkan 18 juta orang Korea Utara terus mengalami kekurangan makanan dan kurang pemakanan serta kekurangan akses kepada perkhidmatan asas,” kata laporan PBB.

Manakala 10.5 juta orang, atau 41 peratus daripada jumlah penduduk mengalami kekurangan zat makanan.

Korea Utara yang mempunyai populasi kira-kira 25 juta mengalami kekurangan makanan sejak bertahun-tahun.

Beratus-ratus ribu orang telah meninggal dunia semasa kebuluran pada tahun1990an.

Laporan PBB menyebut, situasi semakin baik sejak ada bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun, dua pertiga daripada Korea Utara masih bergantung untuk mendapatkan makanan daripada catuan kerajaan.

Laporan PBB berkata, catuan makanan seperti bijirin dan kentang telah dikurangkan daripada 380 gram bagi setiap orang sehari kepada 300 gram untuk beberapa bulan pada tahun lalu.

Korea Utara telah mengalami sekatan di bawah resolusi PBB kerana ujian nuklear dan peluru berpandu. – MalaysiaGazette