Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan dijangka melaksanakan penggunaan buku teks dan bahan tulisan di sekolah berasaskan kertas 100 peratus kitar semula menjelang tahun 2022.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya secara berperingkat akan menggunakan kertas kitar semula dalam penerbitan dan pencetakan buku teks sama ada dalam kementerian atau Dewan Bahasa dan Pustaka.

Katanya, ia telah memenuhi syarat dan telah diperakui SIRIM dan boleh diterima kementerian kerana syarikat terlibat ialah Malaysian NewsPrint Industries Sdn.Bhd., salah satu pemain utama yang telah aktif selama 20 tahun dalam industri kitar semula.

Malah ujar beliau, rancangan bukan dilakukan sekali gus kerana ia memakan masa yang lama dan tidak dapat menentukan jangka masa.

“Kita kena tanya Bahagian Buku Teks yang bertanggungjawab dalam kementerian apa tempoh masa yang disasarkan untuk dilaksanakan sepenuhnya (buku teks hasil kitar semula).

“Kementerian menerusi Bahagian Buku Teks kami telah menjalankan kajian dan penilaian terhadap penggunaan kertas 100 peratus dikitar semula dan maklum balas menunjukkan tidak ada masalah dan halangan menggunakannya,” katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Penggunaan Kertas Kitar Semula 100 peratus tahun 2017 anjuran MNI.

Kempen berkenaan akan berlangsung sepanjang tahun ini sebagai usaha membawa kesedaran kepada rakyat mengenai pentingnya menggunakan kertas kitar semula.

Difahamkan, usaha untuk mengubah mentaliti rakyat sangat sukar mengenai kitar semula.

Kempen yang sama bertujuan membawa kesedaran ekoran peningkatan aktiviti industri atas nama pembangunan yang menyebabkan kemusnahan alam sekitar pada tahap kritikal dan mentaliti rakyat yang tidak menyokong antara cabaran yang menyumbang kepada kemusnahan pokok.

Lebih sejuta batang pokok didakwa ditebang setiap tahun untuk tujuan pencetakan buku teks, buku tulis dan semua produk berkaitan pendidikan dan lebih 150,000 metrik tan kertas digunakan untuk pencetakan dan industri bahan tulis setiap tahun di negara ini dan sebahagiannya diimport.

Penggunaan kertas 100 peratus kitar semula dapat menjimatkan kos dan menyumbang ekonomi negara.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir berkata, pelan berkenaan mungkin dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun atau menjelang tahun 2022.

“Kita mempunyai lebih lima juta murid dan pelajar dari pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah sehingga ke Tingkatan Enam dan melibatkan penggunaan buku teks matapelajaran dan bahan tulisan kertas yang begitu banyak.

“Kalau tiga tahun menjelang 2020 tidak relevan. Mungkin boleh katakan akan dilaksanakan secara berperingkat dan mengambil masa sekitar lima tahun (2022) sepenuhnya,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau mengakui berdepan cabaran untuk mengubah mentaliti rakyat mengenai penggunaan bahan kitar semula.

“Kualiti kertas putih dan kertas kitar semula lebih kurang sama sahaja cuma warna dia kekuningan sedikit. Cuma hendak ubah persepsi rakyat susah untuk meyakinkan kitar semula ini banyak membantu.

“Selepas menggunakan kertas putih 30, 40 tahun dan hendak membawa kertas kitar semula lambat untuk diterima rakyat,” ujarnya sambil menambah pelajar sekolah boleh dijadikan wakil untuk membawa perubahan itu dalam kalangan rakyat. – MalaysiaGazette