Ng Suee Lim

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim gagal membuktikan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berhubung dakwaannya terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus membawa masuk pengundi hantu ke kawasan itu.

Beliau yang beriya-iya dalam perbahasannya memberitahu, Jamal telah membawa masuk kira-kira 1,200 pengundi hantu yang memiliki kad pengenalan dari Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Bahkan, ujar beliau, ada sebuah kampung di Sekinchan didiami sekurang-kurangnya 40 orang Cina dipercayai penduduk luar yang ditempatkan di situ untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Bagaimanapun, apabila ADUN Permatang dari BN, Sulaiman Abdul Razak bangun bertanyakan berapa banyak aduan dibuat oleh Suee Lim kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berhubung dakwaan pengundi hantu, beliau hanya memberitahu, ada (buat bantahan).

Sulaiman sekali lagi bangun meminta Suee Lim nyatakan berapa banyak bantahan dibuat, tetapi tidak dapat dijawabnya.

ADUN Sekinchan itu mendakwa, pendedahan mengenai kewujudan pengundi hantu di kawasan berkenaan antara punca Jamal membuat laporan polis terhadapnya atas alasan menyalahgunakan kuasa peruntukan Yayasan Warga Usia Emas (YAWAS).

“Saya dapat tahu hari ini di Sekinchan, Jamal telah membuat laporan polis ke atas saya. Baru-baru ini (Ahli Parlimen) Seputeh, Teresa Kok pun kena, dua tiga hari lepas ADUN Damansara Utama pun kena. Hari ini saya pula.

“Tidak perlulah buat politik murahan nak fitnah saya. Laporan polis ini dibuat kerana dendam kesumat Jamal kepada saya dan kerajaan negeri sebab saya telah membongkarkan Jamal membawa masuk lebih 1,200 pengundi hantu,” katanya di DUN Selangor di sini, hari ini.

Sambil menyifatkan tindakan Jamal itu sebagai tidak bertamadun, beliau mencabar Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu bertanding melawannya di DUN Sekinchan.

“Saya alu-alukan Jamal atau sesiapa sahaja lawan saya di Sekinchan, tapi jangan bawa masuk pengundi hantu. Kita berlawan secara gentleman,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast