PUTRAJAYA – Anak angkat kedua penyanyi Azharina Azhar meninggal dunia hari ini selepas mengalami kegagalan pelbagai organ selepas diserang demam panas.

Rizqie Azharin Azhar yang berusia 23 hari menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 10.30 pagi.

Kanak-kanak itu dimasukkan di hospital berkenaan pada malam Ahad lalu dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaannya kritikal sejak semalam.

Semalam Azharina menerusi laman sosial Instagram miliknya berkata, anak angkatnya itu mengalami pendarahan otak dan kerosakan pada kedua-dua buah pinggang.

Jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 14 Puchong dekat sini selepas solat Asar petang ini.

Selain Rizkie, Azharina turut mempunyai seorang lagi anak angkat iaitu Rahmat Azharin Azhar Abdullah yang kini berusia 3 tahun. – MalaysiaGazette