Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia hari ini membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dirawat di Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC).

Sebuah laman portal pro pembangkang melaporkan, bekas ketua pembangkang itu tiba di hospital berkenaan jam 2 petang dan dikawal ketat oleh pihak keselamatan Penjara Sungai Buloh.

Dr. Wan Azizah , 64, yang juga ketua pembangkang tidak hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor semalam selepas dimasukkan ke hospital.

Menurut setiausaha politiknya, Rodziah Ismail, keadaan presiden PKR itu tidak membimbangkan.

“Bagaimanapun atas nasihat doktor, pelawat terpaksa dihadkan kepada keluarga terdekat sahaja.

“Ia untuk memberikan ruang secukupnya kepada beliau untuk berehat dan bersama keluarga tersayang,” katanya.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan liwatnya pada Februari 2015. – MalaysiaGazette