Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melakukan lawatan rasmi ke India dari 30 Mac hingga 4 April ini atas jemputan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Semasa lawatan ini, Najib dijadualkan melawat Chennai, New Delhi dan Jaipur.

Lawatan ini merupakan lawatan ketiga Perdana Menteri ke India sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, kata Kementerian Luar Negeri.

Najib akan diiringi oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut serta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, menteri-menteri kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Lawatan itu menggariskan kerjasama dua hala yang erat antara Malaysia dan India yang telah terjalin sejak 60 tahun lalu dan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk bertukar-tukar pandangan berkaitan isu kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa.

Di New Delhi,Perdana Menteri akan diberikan sambutan rasmi di Istana Presiden, melakukan Kunjungan Hormat ke atas Presiden India Shri Pranab Mukherjee, diikuti Mesyuarat Terhad dengan rakan sejawatnya dan mesyuarat dua hala dengan ahli delegasi kedua-dua negara.

Sidang akhbar bersama akan diadakan sebelum Majlis Makan Malam Rasmi yang dihoskan oleh Modi untuk Perdana Menteri dan isteri.

Isu-isu yang akan dibincangkan semasa mesyuarat dua hala termasuklah perdagangan dan pelaburan, projek infrastruktur, kerjasama pertahanan, pengurusan pengangkutan udara, kerjasama pelancongan dan kebudayaan serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Beberapa Memorandum Persefahaman dan dokumen akan ditandatangani semasa lawatan ini dan majlis pertukaran dokumen-dokumen akan disaksikan oleh  Najib dan Modi.

Selain mesyuarat-mesyuarat dua hala, Perdana Menteri akan terlibat dengan sesi-sesi dialog bersama pemimpin dan kapten industri dalam sektor perniagaan utama India.

Najib juga dijadualkan menghadiri Majlis Makan Tengahari Perniagaan dan Mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global Ke-7 (GSIAC).

Program Perdana Menteri di Chennai pula meliputi resepsi rasmi yang dihoskan oleh  Vidhyasagar Rao, Pemangku Gabenor Tamil Nadu dan mesyuarat bersama Edappadi Palaniswamy, Ketua Menteri Tamil Nadu.

Perdana Menteri akan memanfaatkan peluang ini untuk mengadakan sesi dialog bersama komuniti Malaysia termasuk pelajar-pelajar.

Najib dijadualkan melawat Jaipur untuk melihat dengan lebih dekat penyertaan Malaysia dalam projek pembangunan infrastruktur di India.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Vasundhara Raje Scindia, Ketua Menteri Rajashtan dan menghadiri perbincangan peringkat tinggi berkaitan pencapaian syarikat-syarikat Malaysia dalam projek pembangunan infrastruktur di Jaipur.

Pada hari terakhir lawatan, Perdana Menteri dijangka akan merasmikan Kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi yang baharu selesai disiapkan.

Malaysia yakin lawatan Perdana Menteri ke India kali ini bakal meningkatkan kerjasama sedia ada dengan India, bukan sahaja dalam skop dua hala tetapi juga dalam isu serantau dan antarabangsa, kata Kementerian Luar Negeri. – MalaysiaGazette