Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa Lim Kit Siang mula kepanasan selepas terbukti DAP mengamalkan nepotisme sehingga tidak dapat menahan kesabarannya apabila disuruh letak jawatan.

Abdul Rahman berkata, tindakan Kit Siang yang mula melatah membuktikan semua fakta yang dilontarkan adalah benar, bahkan semua orang tahu bahawa Penasihat DAP itu sebenarnya yang mengawal parti tersebut secara kuku besi sehingga ahli-ahli takut untuk bersuara kerana bimbang dibuang parti.

“Kenyataan balas menunjukkan dia mula kepanasan dan ada benarnya dengan kenyataan kami. Kedua, tidak perlu kajian daripada saintis untuk kita melihat cara beliau kuasai parti.

“Semua orang tahu beliau menguasai partinya. Beliau sepatutnya menyerahkan pimpinan kepada orang lain, tapi kita tahu akar umbi DAP bimbang dan takut dengan cara beliau mencengkam parti,” kata Abdul Rahman semasa ditemui di Parlimen hari ini.

Abdul Rahman berkata, terbukti Kit Siang mengamalkan nepotisme dalam DAP apabila meletak anaknya sendiri, Lim Guan Eng, sebagai Setiausaha Agung parti itu.

“Beliau memegang pelbagai jawatan sejak 51 tahun, memang beliau boleh mengatakan tidak lagi menjadi Setiausaha Agung tetapi anaknya (Lim Guan Eng) kini merupakan Setiausaha Agung DAP.

“Dan beliau juga mempunyai pengaruh yang kuat di dalam parti dan tiada siapa yang boleh mengkritik beliau. Pernah kita lihat sesiapa dalam DAP mengkritik Lim, tidak ada bukan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, setelah 13 kali gagal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), Kit Siang seharusnya meninggalkan politik sekiranya masih bermaruah.

Kit Siang hari ini tidak dapat menahan kemarahannya dengan membidas Abdul Rahman sebagai tidak tahu malu apabila mendesaknya supaya meletak jawatan dan menyifatkan beliau hanya menampakkan kebodohan diri sendiri sahaja.

“Abdul Rahman mahu saya bersara daripada politik kerana gagal menumbangkan BN dalam pilihan raya sebelum ini dan mengatakan saya patut berasa malu kepada ahli parti DAP serta sepatutnya memberikan laluan kepada pemimpin lain yang lebih layak.

“Sebenarnya, Abdul Rahman lah yang tidak tahu malu yang tidak sedar beliau membodohkan dirinya sendiri!” kata Kit Siang.

Abdul Rahman sebelum ini mencadangkan supaya Kit Siang bersara daripada politik dan memberi peluang kepada muka baharu seperti yang diingini dalam kalangan anggota akar umbi parti itu. – MalaysiaGazette