Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Langkah Pakatan Harapan yang mahu menggunakan logo baharu tidak akan memberi sebarang makna selagi matlamat setiap parti komponen dan pemimpinnya berbeza-beza.

Bekas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Hidayat Mohd Shariff berkata, secantik mana pun logo baharu mereka, ia tidak membawa sebarang perubahan ekoran kerjasama setiap satu daripadanya hanyalah sandiwara.

“PPBM mahukan Tan Sri Muhyiddin sebagai PM. PKR dan DAP pula mahukan Datin Seri Wan Azizah sebagai PM.

“Dan lebih memburukkan keadaan, apabila timbul desas-desus wujudnya pakatan rahsia antara Tun Mahathir dan Lim Kit Siang bahawa mereka telah bersepakat bahawa jika pembangkang menang, Mukhriz akan menjadi PM manakala Kit Siang atau anaknya akan menjadi TPM,” katanya lapor sebuah laman portal hari ini.

Menurut laporan itu, Shamsul Hidayat sebagai berkata, rakyat di peringkat akar umbi mahu Pakatan Harapan menamakan secara tepat siapa calon pilihan mereka.

“Masalah persefahaman ini bukan baru, malah ianya menjadi seolah-olah satu sumpahan bagi pihak pembangkang sejak penubuhan pakatan pembangkang yang pertama lagi.

“Malah isu tiada persefahaman ini juga menyebabkan pakatan pembangkang kali kedua berpecah apabila DAP dan Pas bertelagah.

“Dan kali ini, dengan wujudnya dua parti baru di dalam pembangkang iaitu PPBM dan juga PAN, saya jangkakan isu persefahaman ini akan menjadi lebih parah dan kronik,” tegasnya sambil menegaskan situasi itu merupakan realiti sebenar mengenai konflik dalaman Pakatan Harapan.

Beliau menambah, satu-satunya persamaan dalam kalangan mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) namun, pada hakikatnya tiada kesepakatan berhubung isu-isu lain disebabkan setiap satunya mempunyai agenda politik tersendiri.

Dengan membuat perbandingan Shamsul Hidayat berkata, berbeza dengan BN, 13 parti mengekalkan perpaduan antara satu sama lain dalam membina sebuah negara sehingga hari ini.

Biarpun perbezaan pendapat tetap berlaku, namun ianya dapat ditangani dengan penuh berhemah dan tidak menjejaskan nasib dan rakyat dari mana-mana kaum dan agama, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast