KUALA LUMPUR – Seramai 12 suspek termasuk lapan warganegara asing ditahan manakala lebih RM18 juta wang tunai dan aset dirampas dalam satu serbuan anti penggubahan wang haram oleh pelbagai agensi, baru-baru ini.

Bank Negara dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, sebanyak 14 premis termasuk tiga daripadanya beroperasi sebagai pengendali perniagaan perkhidmatan kewangan berlesen di Kuala Lumpur dan Selangor turut diserbu.

Semasa serbuan, kelapan-lapan warga asing bersama empat lagi suspek ditahan dan direman manakala 23 individu lagi disoal siasat.

Operasi bersama itu berjaya merampas wang tunai dalam matawang tempatan dan asing, jongkong emas serta kenderaan mewah yang bernilai lebih RM18 juta.

BNM bersama dengan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara dari Jabatan Peguam Negara, polis serta Jabatan Imigresen antara yang terlibat di dalam serbuan rangkaian pengendali perniagaan wang haram itu.

Kesemua premis diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perniagaan Kewangan 2011 dan Akta Penggubahan Wang Haram, Anti Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2011 (AMLATFA).

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Individu yang terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram pula boleh didakwa di bawak seksyen 4(1) AMLATFA dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak melebihi lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram tersebut atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.- MalaysiaGazette