Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Ketua Whip DAP, Anthony Loke mahu Pas sedar bahawa mereka sudah dipermainkan ekoran keputusan kerajaan untuk tidak mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban itu menyifatkan langkah yang dibuat oleh UMNO semasa menjanjikan untuk membawa usul tersebut sebagai satu permainan politik yang bertujuan untuk memecahkan gabungan pembangkang.

“Ia hanya menunjukkan UMNO cuba bermain politik, ia permainan yang bertujuan untuk memecahkan pembangkang.

“Pas perlu sedar bahawa mereka sudah ditendang sana oleh UMNO seperti bola sepak,” kata Anthony semasa ditemui di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak Pas akan enggan mengakui kesilapan yang dilakukan mereka walaupun tiada jaminan diberikan usul tersebut akan sempat dibahas pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

“Mereka tidak akan mengaku tersilap langkah, tapi tidak ada jaminan rang undang-undang itu dibentang dalam Dewan Rakyat kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Loke juga menggesa pendirian kerajaan sama ada akan membenarkan usul persendirian tersebut akan dibahas atau tidak memandangkan usul kerajaan sepatutnya menjadi keutamaan dalam aturan mesyuarat.

“Usul persendirian hanya boleh dibenarkan dibahas jika kerajaan memberi laluan kerana semua urusan kerajaan akan menjadi keutamaan dibawah aturan mesyuarat,” katanya lagi.

Semalam, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta 355. – MalaysiaGazette.