RAWANG – Desakan supaya siasatan dan tindakan segera diambil berhubung isu salah guna kuasa dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semakin kuat, terbaharu satu laporan polis dibuat di Rawang hari ini.
Laporan polis tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Parlimen Selayang bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Balai Polis Rawang.
Wakil kumpulan tersebut, Penyelaras DUN BN Taman Templer, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim berkata, pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat agensi kerajaan negeri itu memandangkan mereka mendapat banyak maklum balas bahawa ramai yang masih tidak menerima wang tersebut walaupun hampir 300 hari.
“Daripada maklum balas orang ramai, mereka memberitahu kami sepatutnya mendapat wang Yawas tersebut dalam masa 60 hari tapi sudah 300 hari mereka masih tidak menerima wang daripada dana tersebut.
“Selain itu, terdapat juga wakil rakyat luar Selangor yang mendapat dana dari kerajaan Selangor ini yang memungkinkan terdapat salah guna dalam penyaluran dana ini.
“Kerajaan Selangor juga perlu memberikan penjelasan untuk selesaikan kemelut dana ini,” kata Md Nasir.
Md Nasir juga mendesak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberikan penjelasan mengenai lantikan Pengurus Besar Yawas yang sudah diisytihar muflis.
“SSM juga perlu siasat mengapa Pengurus Besar Yawas yang sudah diisytihar muflis boleh mengendalikan agensi ini,” katanya.
Kontroversi berhubung dana Yawas tercetus selepas pendedahan dibuat oleh Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang mendakwa wang dana tersebut yang disalurkan oleh kerajaan negeri disalah guna oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang luar dari Selangor dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Februari lalu, Jamal juga hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam bagi menyerahkan dokumen dan bukti membabitkan penyelewengan Skim tersebut sejak 2008.
Jamal mendakwa, beliau mempunyai bukti kukuh menerusi dokumen setebal 78 muka surat itu bahawa skim khairat kematian yang diberikan kepada waris yang telah meninggal dunia sebanyak RM2,500 untuk rakyat di negeri ini telah disalah guna.
Beliau juga telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Sekinchan berhubung penyelewengan dan salah guna kuasa seorang ADUN Selangor sejak 2008 sehingga kini berkaitan Yawas.
Beberapa pertubuhan NGO negeri juga sebelum ini turut membuat laporan susulan kepada polis berhubung salahguna dana negeri Selangor dan menggesa supaya siasatan segera dibuat terhadap pihak terlibat. – MalaysiaGazette
















