PADA topik yang lepas kita telah membicarakan tentang lima elemen yang diperlukan oleh badan untuk terus kekal sihat dan tiada berpenyakit.

Saya telah menerangkan pentingnya diet yang mengurangkan pengambilan karbohidrat dan meninggikan pengambilan protein serta lemak sebagai satu menu yang sihat.

Pada kali ini saya akan menerangkan empat lagi elemen atau teras penting yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian.

Elemen yang kedua penting adalah setiap orang perlukan rehat yang secukupnya iaitu tidur.

Kita perlu tidur antara 7 hingga 9 jam sehari meskipun jumlah itu sukar diperolehi oleh kita yang hidup di zaman moden ini.

Sedangkan Allah telah menjadikan malam untuk hambanya beristirehat makanjadikan malam dengan suasana gelap untuk menyenangkan diri untuk mudah tidur.

Amalkan tidur paling lewat pada pukul 10 malam untuk menjamin badan kita akan segar pada keesokan harinya.

Dengan suasana gelap semasa tidur hormon melatonine dihasilkan oleh badan yang mana ia akan mengurangkan stress dan peningkatan hormon ini menyebabkan tidur anda nyenyak dan seterusnya menghindarkan anda daripada mendapat tekanan darah tinggi.

Selalunya apabila tidur awal, mereka yang sudah meningkat usia sering akan terjaga awal pagi iaitu pukul 3 pagi.

Jika terjaga pada waktu itu, sebaiknya kita digalakkan melakukan sembahyang sunat tahajud kerana aktiviti tersebut dapat meningkatkan enzim nitrik oksida yang sememangnya ada pada tahap terendah pada ketika itu.

Peningkatan nitrik oksida akan mengelak daripada seseorang terkena tekanan darah tinggi.

Kemudian anda boleh menyambungkan tidur anda sehingga cukup waktunya.

Tahukah anda dengan tidur yang cukup dapat menguruskan badan seseorang. Ini kerana tidur yang cukup menyebabkan badan dapat menghasilkan hormon ghrelin berpasangan dengan hormon peptin yang secukupnya untuk digunakan badan bagi mengawal dan memberhentikan kita daripada mengambil makanan berlebihan.

Jika anda tidak dapat tidur yang panjang di malam hari, kita digalakkan untuk mengambil tidur sebentar selepas makan tengah hari untuk memastikan badan akan mendapat rehat yang secukupnya.

Elemen yang ketiga pula adalah mengendalikan stres dengam baik. Faktor ini juga adalah cabaran utama bagi mereka yang duduk di bandar kerana stres berada di mana-mana sahaja.

Bangun pagi kita berkejar menyiapkan sarapan untuk keluarga dan anak-anak, seterusnya pergi ke tempat kerja dalam kesesakan lalu lintas.

Kemudian tekanan pada waktu kerja sehingga ke petang. Begitulah seterusnya hingga pulang ke rumah. Ada juga yang pulang lewat malam kerana melakukan dua kerja.

Kita harus bijak mengendalikan tekanan ini kerana tekanan yang tidak dikendalikan dengan baik akan menyebabkan hormon adrenalin, noradrenalin dan kortisol meningkat dalam badan.

Peningkatan hormone-hormon ini akan menyebakan denyutan jantung kita bertambah laju, kita akan menjadi cepat marah, seterusnya meningkatkan tekanan darah.

Peningkatan secara berterusan hormon-hormon ini akan menyebabkan ketahanan imun badan akan menurun seterusnya menyebabkan kita mudah sakit.

Cara mengendalikan tekanan adalah hendaklah sentiasa berfikiran positif dalam setiap masalah yang dihadapi.

Kita boleh melakukan dua cara dalam menghadapi sesuatu masalah, contohnya apabila kereta belakang membunyikan hon – Kita boleh memarahi situasi itu tetapi ia akan.

Atau kita berfikir secara positif (husnudzon) iaitu mungkin kereta belakang ada dalam kecemasan yang perlu disegerakan laluan, maka anda tidak akan mengalami tekanan darah.

Elemen yang keempat adalah melakukan senaman yang boleh meningkatkan kecerdasan badan dan juga hormon. Semua orang kena bersenam iaitu sekurang-kurangnya 12 minit sehari dengan melakukan aktiviti kardio untuk memastikan hormon-hormon dalam badan berada dalam keadaan optimum.

Aktiviti ini dapat menyebabkan jantung kita berdenyut dengan variasi berbeza setiap hari iaitu ada fasa berdenyut cepat dan ketika lain berdenyut dengan perlahan.
Sleep

Ianya akan menyebabkan badan kita akan memecahkan lemak atau makanan simpan dalam proses glikogenesis seteusmya menstabilkan hormon insulin kita. Begitu juga ianya meningkatkan hormon testosterone iaitu hormone kelakian serta hormon tiroid yang diperlukan badan untuk mengaktifkan kecergasan kita seharian.

Akan tetapi jika kita melakukan senaman yang berlebihan atau berpanjangan seperti lari marathon, ianyakan akan menyebabkan otot kita kita dileraikan untuk mendapat tenaga secukupnya. Ini terjadi pada atlit marathon dimana otot mereka sedikit dan akan mudah mengalami kelesuan otot dikemudian hari.

Elemen terakhir adalah adalah kesimbangan hormon. Seperti yang kita ketahui dalam empat elemen sebelumnya hampir semuanya berkaitan dengan hormon-hormon tertentu.

Jadi dalam melakukan perkara-perkara ini boleh dikira sudah mendapat hormon yang mencukupi.

Namun begitu setiap hormon ada berpasangan seperti hormon ghlerin berpasangan dengan hormon peptin, begitu juga hormon adrenalin berpasangan dengan noradrenalin.

Jadi untuk memastikan hormon tersebut sentiasa berada dalam kadar seimbang maka kita memerlukan satu keadaan tenang dalam menghadapi keadaan tekanan yang tinggi dalam aktiviti seharian.

Kita perlukan tidur di waktu malam setelah penat bekerja di waktu siang. Kita juga perlu beribadat bagi mengimbangi tekanan kerja.

Di sinilah setiap apa yang diajar dalam agama penting untuk dipraktikkan.

Misalannya kita kena belajar menerima sesuatu bencana yang menimpa iaitu redha dengan sesuatu keadaan.

Contohya kehilangan insan tersayang supaya tahap kesihatan kita tetap utuh dalam situasi tertekan.

Ada satu lagi hormon berkasih sayang sesama insan iaitu hormone endorphin. Hormon ini akan meningkat ketika seseorang merasa senang, tenang, atau bahagia dan akan berkurangan ketika merasa sedih dan tertekan.

Untuk meningkatkan hormon ini kita perlu sentiasa dengan orang yang tersayang, mengelak dari melakukan benda yang dilarang agama dan benda yang boleh menyakitkan.

Jika terlalu stress, anda boleh mengambil cuti untuk meningkatkan hormon ini kerana dipercayai hormon ini dapat memanjangkan umur kita selagi diizinkan oleh Allah SWT.

Demikianlah elemen-eleman yang dapat menyebabkan kita akan sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Jika anda mendapati masih sakit selepas memastikan semua elemen diatas dipatuhi , maka berjumpalah dengan doktor supaya pemeriksaan kesihatan dijalankan.

Jangan pula terus ke kedai ubat untuk mendapatkan ubat bagi menghilangkan rasa sakit.

Kesakitan yang anda rasa sakit tidak semestinya boleh dirawat dengan ubat.
Dr Norzaidi Zakaria
Artikel ini ditulis oleh Dr Norzaidi Zakaria. Beliau adalah Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia.