KUALA LUMPUR – Salahuddin Ayub mendakwa arahan polis menarik balik permit debat Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Nazri Aziz adalah daripada arahan Perdana Menteri sendiri.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu berkata, ia punca kenapa polis menarik balik selepas permit diberikan kepada penganjur.

“Sebenarnya Datuk Seri Najib Razak yang bertanggungjawab mengarahkan debat tersebut dibatalkan kerana beliau terlalu bimbang kesan perdebatan itu akan ‘menelanjangkan’ bagaimana penglibatan beliau dan kroninya dalam isu skandal 1MDB.

“Saya yakin dan percaya bahawa Tun M bukan sahaja akan mendedahkan fakta sedia ada berkaitan 1MDB tetapi Tun M juga akan mengemukakan bukti-bukti terkini yang beliau terima untuk memastikan rakyat yakin bahawa Najib mengamalkan kleptokrasi terhadap dana awam bagi kepentingan peribadi dan keluarga beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas larangan polis terhadap penganjuran debat kedua-dua pemimpin politik itu baru-baru ini.

Walaupun polis mendakwa ia dibuat berdasarkan laporan dan kemungkinan berlaku ancaman namun rata-rata pembangkang tetap menjadikan ia modal provokasi kepada Perdana Menteri.

Malah Salahuddin juga menyatakan sekiranya beliau berada di tempat Najib, beliau sendiri akan ‘menentang’ Tun M demi mempertahankan maruah.

Apa pun, jadi atau tidak debat pembangkang tetap akan mencari jalan memburuk-burukkan kerajaan.- MalaysiaGazette

Comments are closed.