BEIJING – Seorang jurutera China telah ‘berkahwin’ dengan robot ciptaannya selepas gagal mencari pasangan hidup.

Zheng Jiajia, 31, seorang pakar kecerdasan, mereka dan membentuk robot di wilayah Hangzhou, Zhejiang itu mencipta sendiri robot ‘wanita’ yang menjadi isterinya pada akhir tahun lepas.

Qianjiang Evening News melaporkan, robot yang dinamakan Yingying, boleh mengenal pasti watak-watak dan imej Cina dan boleh menyebut beberapa perkataan mudah.

Jiajia ‘berkahwin’ dengan robot rekaannya dalam satu majlis sederhana pada hari Jumaat lalu, kata laporan media itu.

Semasa majlis itu, Yingying memakai baju hitam dan kepalanya dilitupi skaf merah, warna tradisi perkahwinan kaum Cina.

Ibu dan sahabat Jiajia menghadiri majlis ‘perkahwinan’ itu.

Seorang tetamu berkata, Jiajia memutuskan untuk berkahwin dengan robot selepas gagal menemui wanita impiannya.

Jiajia merancang untuk menaik taraf ‘isteri robot’ dengan membolehkan ia berjalan dan membantu kerja-kerja rumah.

Lelaki itu pernah bekerja di Huawei dan kini menyertai Dream Town, Hangzhou, sebuah firma yang berasaskan Intenert. – MalaysiaGazette