Dr. Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim memberi peringatan kepada generasi baru mengenai pengaruh kehidupan mereka bakal terhakis sedikit demi sedikit melalui media sosial jika tidak ada perisai mempertahankannya.

Beliau berkata, kehidupan generasi hari ini agak rapuh sehingga banyak nilai budaya yang menjadi benteng kepada kekuatan jati diri mereka telah mula hilang akibat daripada pengaruh media sosial yang tidak bertapis.

“Kita lihat media sosial telah pun mempengaruhi kehidupan kita. Media sosial telah pun menyelubungi sebahagian daripada nilai kehidupan kita.

“Walau apa pun yang datang, kita harus pastikan hak sendiri tidak hilang dari jati diri,” katanya pada majlis sesi Pra Kongres Khas Pembudayaan Tamadun Tinggi Dalam TN50 di Dewan Semarak, Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kata Rais, pentingnya setiap daripada generasi muda melihat semula sistem pendidikan yang mereka belajar kerana ia adalah perisai penting untuk menentukan hala tuju masing-masing pada masa akan datang.

Jelas beliau, jika dari kecil mereka tidak menggunakan pendidikan yang ditimba sebagai perisai dikhuatiri sifat keperibadian golongan itu akan hanyut dalam kalangan masyarakat yang terpengaruh dengan media sosial yang tidak terkawal itu.

“Media sosial dicipta oleh manusia luar dengan tujuan komersial tanpa memikirkan ia akan merosakkan minda generasi baharu.

“Sebab itu, saya selalu tekankan kepada anak muda betapa pentingnya kita ada perisai tradisional untuk menjadi benteng daripada pengaruh luar yang tidak berbudaya.

“Malangnya, ada orang memandang remeh pada budaya dengan menganggapnya sekadar joget, ronggeng atau pantun dua kerat tetapi mereka lupa, inilah sistem nilai kemasyarakatan kita,” katanya.

Kata Rais lagi, beliau mendapati nilai masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu lama-kelamaan ‘menyedut’ sistem serta nilai antarabangsa yang bersifat tempatan tetapi pada masa sama menghilangkan dari sudut personaliti atau sahsiah.

“Pendidikan kita juga makin lama makin kurang membawa kebijaksanaan tempatan dan apabila bercakap pasal agama, kita lebih memikirkan mengenai bentuk luaran, bukan dalaman,” ujar beliau.

Beliau turut mengajak anak muda dan generasi baharu agar belajar bagi tujuan mewujudkan semula budaya bangsa Melayu dengan mengekalkannya menerusi pantun, falsafah usang dan petua.

“Bagaimana untuk memulakannya ialah melalui kembali kepada pendidikan, prinsip dan amalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast