Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan kerajaan menubuhkan institusi kewangan khusus untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor keusahawanan, perniagaan, perdagangan dan perindustrian.

Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, Perkasa mahu kerajaan memandang serius cadangan itu dan melaksanakannya dalam waktu terdekat.

Katanya, cadangan itu yang telah dikemukakan beberapa kali kepada kerajaan sebelum ini termasuk usul yang diluluskan dalam persidangan tahunan Perkasa tahun lalu, menyatakan kebanyakan usahawan bumiputera tidak boleh berkembang maju berikutan masalah modal.

“Lantaran itu, kita mencadangkan kepada kerajaan perlu ada institusi kewangan khusus untuk memberi bantuan dalam jumlah besar bagi memecah monopoli kaum lain dalam perniagaan.

“Kita turut mencadangkan supaya institusi kewangan itu juga membekalkan dana untuk membolehkan Bumiputera memiliki ruang pejabat, premis komersial, rumah kedai dan kilang,” katanya kepada MalaysiaGazette di pejabat Perkasa di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ruhanie turut menyambut baik dan menyokong cadangan seorang tokoh ekonomi, Dr. Rais Saniman supaya kerajaan memperkenalkan semula dasar yang pro bumiputera pada abad ke-21 ini bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi dengan bukan bumiputera.

Dalam kenyataan kelmarin, Rais dilaporkan berkata, kerajaan perlu menyuntik modal kepada usahawan bumiputera yang tidak mempunyai dana khusus untuk membantu mereka memiliki hartanah tersebut.

Menurut Ruhanie yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Bumiputera (BinaPutera) Perkasa, ketika ini, jumlah pemilikan hartanah komersial oleh bumiputera terlalu kecil dan hampir sifar di pusat komersial yang strategik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast