Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan tidak membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau (Akta 355) namun masih ada harapan untuk diluluskan.

Ini diakui oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan menurutnya, ahli-ahli Parlimen UMNO dilihat masih positif dengan RUU355 meskipun konsensus parti komponen Barisan Nasional dilihat menolaknya sebagai usul kerajaan.

“Saya harap ia mesti melalui proses perbahasan dan pengundian dan ia mestilah diselesaikan pada sidang kali ini.

“Saya berterima kasih kepada ahli Parlimen UMNO yang akan menyokong usul persendirian ini walaupun risikonya MCA dan parti-parti lain akan meninggalkan BN,” katanya kepada Malaysia Gazette di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bahawa ahli-ahli Parlimen UMNO dan Islam dalam BN yang dijangka menyokong dan mengundi RUU355 untuk diluluskan bagi memperkasakan martabat mahkamah syariah di negara ini.

Mahfuz merupakan wakil rakyat Pas tetapi kini kecenderungan lebih kepada parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan pindaan RUU355 di Parlimen dan ia kekal sebagai RUU persendirian.

Najib berkata, ia merupakan keputusan hasil daripada mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dibuat secara konsensus.

Bagaimanapun katanya, ia kini terserah kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menentukan kedudukan usul ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi itu sama ada akan dibentang atau sebaliknya berdasarkan kepada peraturan dewan.

Mengulas lanjut, bagi memastikan RUU355 dapat dibentangkan di Parlimen, Mahfuz menggesa kerajaan menarik semua usul dan urusan kerajaan dalam aturan mesyuarat Parlimen bagi membolehkan usul persendirian itu dibentangkan.

“Usul persendirian itu mesti diselesaikan bukan hanya bacaan kali kedua, tapi sampai ke peringkat pengundian untuk kita nak redakan keadaan dan perbalahan yang tidak membawa imej baik kepada negara kita.

“Kerajaan bukan mendahulukan (RUU35) macam dulu tapi tetapi dia menarik balik semua bil dia (kerajaan) yang akhirnya ada masa untuk usul persendirian ini untuk dilepaskan oleh Speaker,” katanya lagi.

Abdul Hadi pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan mahkamah syariah ketika ini. – MalaysiaGazette