Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Cabaran paling utama yang dihadapi industri halal global ketika ini adalah ketiadaan sijil perakuan standard halal yang seragam di peringkat antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid,  terdapat 200 badan pengiktirafan sijil halal di serata dunia yang menggunakan sijil dan logo mereka sendiri sekali gus menjadi satu lagi cabaran untuk menegakkan integriti industri halal global.

“Industri halal global mempunyai banyak cabaran termasuk tahap kefahaman dan kesedaran berkenaan halal.

“Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran tersebut mesti ada jalan penyelesaian. Kita perlu mewujudkan keseragaman pengiktirafan bersama antara pensijilan masing-masing. Saya sangat berharap perkara ini diambil tindakan serius untuk direalisasikan,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (MIHAS 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

MIHAS 2017 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membabitkan penyertaan 580 pempamer dari 33 negara termasuk negara ASEAN, Palestin, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Brazil, Afrika Selatan, China, Jepun dan Taiwan.

Penganjur menyasarkan kira-kira 25,000 pengunjung mengunjungi MIHAS 2017 yang disifatkan pameran dagangan halal terbesar dunia.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata, ketika ini kerajaan di peringkat fasa terakhir dalam melaksanakan Pelan Induk Industri Halal yang akan menekankan usaha meluaskan pasaran syarikat tempatan selain mengantarabangsakan industri halal.

“Program dan inisiatif ini adalah bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju Pusat Rujukan Halal Global dan mengetuai inovasi, pengeluaran dan perdagangan produk dalam sektor halal terpilih,” katanya.

Tambahnya, pada penghujung tahun lalu sahaja sejumlah RM11.8 bilion pelaburan halal dimana RM7 billion daripadanya adalah daripada pelabur luar negara.

Justeru, Malaysia turut menyasarkan jumlah keseluruhan pelaburan akan dicapai pada tahun 2020 sebanyak RM15 bilion.

Manakala nilai eksport makanan dan minuman mengikut kandungan ramuan halal pula dijangka akan terus meningkat melebihi RM50 bilion menjelang tempoh yang sama dengan 11,000 peluang pekerjaan. – Malaysia Gazzete.