Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Pihak kedutaan Malaysia di Indonesia telah menggerakkan usaha mencari dua warga Malaysia, Kamarol Arifin Mohamad Darus dan Mohd Shafa Ahmad yang didakwa hilang sebaik sahaja mereka tiba di Jakarta, Indonesia pada 30 Mac lalu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerima adua mengenai kehilangan mereka pada 4 April lalu.

“Seterusnya pihak kedutaan telah menggerakkan usaha pencarian kedua-dua individu tersebut melalui segala saluran ramsi yang ada.

“Pihak kedutaan juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia untuk mengesan kedudukan terkini mereka,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, pihak keluarga kedua-dua individu berkenaan juga sedang berhubung rapat dengan Kementerian Luar.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan terus berusaha dengan menggunakan semua saluran yang ada untuk menjejaki kedua-dua individu yang hilang ini,menurut kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette