Tentera Laut AS menjalankan operasi serangan terhadap Syria menggunakan kapal USS Porter di Laut Mediterannean - Reuters

LONDON – Rusia menerima makluman daripada Amerika Syarikat 30 minit sebelum 59 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan terhadap pangkalan udara Shayrat di Syria.

Daily Mail melaporkan Duta Rusia ke PBB memberitahu demikian namun, pentadbiran Presiden Donald Trump hanya menyatakan, tidak meminta kebenaran Moscow untuk melancarkan serangan itu.

Rusia dipercayai memberitahu Syria mengenai serangan tersebut namun, ia tidak dapat disahkan.

Rusia terbabit secara langsung membantu regim Bashar al-Assad memerangi pemberontak dengan menempatkan pesawat serta tenteranya di Syria.

Kementerian Luar Rusia menyatakan tiada tenteranya yang cedera atau terbunuh dalam seragan itu.

Setakat ini, Syria menyatakan enam tenteranya terbunuh namun, pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain yang memetik sumbernya di Syria nmenyatakan antara yang terbunuh ialah empat tentera Syria, termasuk seorang jeneral.

Gabenor wilayah Homs pula menyatakan tujuh terbunuh iaitu lima tentera serta dua orang awam dan tujuh lagi cedera.

Sementara itu,Presiden Rusia, Vladimir Putin, percaya bedilan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) ke atas pangkalan udara Syria melanggar undang-undang antarabangsa selain menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Jurucakap Putin, Dmitry Peskov, dipetik sebagai berkata, pemimpin Rusia itu yang juga sekutu kuat Presiden Bashar al-Assad, menyifatkan tindakan AS itu sebagai ‘menyerang negara berdaulat’ atas alasan yang direka dan cubaan sinikal memesongkan perhatian dunia daripada kematian penduduk awam Iraq.

Peskov dipetik sebagai berkata, Russia tidak percaya Syria memiliki senjata kimia dan tindakan AS akan mewujudkan halangan serius terhadap pembentukan pasukan tentera antarabangsa bagi memerangi keganasan, idea yang kerap didesak Putin. – MalaysiaGazette