Zed Zaidi

KUALA LUMPUR – Selain personaliti Singapura, Najip Ali, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut menyenaraikan empat lagi penghibur negara yang menyertai program OK Chope.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya turut meminta polis negara ini memanggil kelima-lima peserta OK Chope untuk mendapatkan keterangan berhubung penghinaan mereka ke atas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, tidak cukup sekadar Najip seorang yang meminta maaf, empat peserta lagi juga perlu berbuat demikian dalam tempoh terdekat ini.

Empat personaliti itu ialah Mike Kassim, Sam Bee, Vernetta Lopez dan Rishi Budhrani, selain Najip.

“Kita tahu Najip sudah meminta maaf, tapi memadaikan dengan sekadar memohon maaf? Rakyat Malaysia terguris dengan kenyataan mereka berlima,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini, hari ini.

Pada 29 Mac lalu, stesen televisyen Singapura itu menyiarkan rancangan OK Chope episod ke-26 yang meminta semua peserta melengkapkan satu tajuk berita berkaitan Najib yang telah dikurangkan satu perkataan iaitu Najib slams… for threatening Malaysia’s progress.

Peserta kemudian masing-masing cuba meneka dengan ada antaranya menggunakan ayat berbentuk penghinaan dan mempersenda Perdana Menteri. – MalaysiaGazette