Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Salleh berkata, sungguh pun kerajaan bertukar kepimpinan, tetapi Malaysia adalah negara sama yang masih kekal dengan perlembagaannya.
Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Salleh berkata, sungguh pun kerajaan bertukar kepimpinan, tetapi Malaysia adalah negara sama yang masih kekal dengan perlembagaannya.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berharap Inisiatif Pembaharuan Pendidikan Negara (NERI) dan pihak pendokong Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak lupa sejarah negara dan sedar betapa rapuhnya perpaduan nasional yang ada hari ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, dalam keadaan sekarang, Malaysia juga boleh dianggap seperti ‘sebuah rumah kaca yang mampu dihancurkan dari luar dan dalam’.

Kata beliau, antara kedua-dua faktor itu, kebarangkalian serangan dari luar adalah tidak terfikir tetapi kebarangkalian ancaman daripada dalam seperti pergaduhan antara kaum amat mudah berlaku serta jauh lebih berbahaya.

“Jadi, tidak guna jika rakyat Malaysia mampu menguasai lima bahasa, pakar teknologi atau kaya raya tetapi berperang sesama sendiri seperti yang berlaku di kebanyakan negara masa kini. Pembunuhan dan penyeksaan sesama sendiri berlaku dimana-mana.

“Untuk mengelakkan perkara seumpama ini berlaku dan sebelum nasi menjadi bubur, kerajaan mesti tegas dan berani memupuk persefahaman dan perpaduan kaum sejak di bangku sekolah lagi.

“Ibarat melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Janganlah iktiraf UEC kerana ianya bermakna mengiktiraf pendidikan pelbagai aliran yang pastinya akan menebalkan sifat dan semangat perkauman,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai berita satu portal mesra pembangkang semalam yang mengandaikan Perkasa gagal menghargai nilai global UEC.

Menurut Sirajuddin, laporan itu jelas menimbulkan kerisauan Perkasa kerana portal itu turut memetik kenyataan NERI yang berlandaskan UEC semata-mata di atas dasar nilai global jangka pendek.

“Apakah nilai-nilai seperti faedah bahasa dan pengiktirafan luar negara itu teramat penting sehingga mengatasi kepentingan kepentingan negara?” soalnya.

Beliau juga mempersoalkan, mampukah generasi perkauman itu membentuk warganegara yang bersatu padu sekali gus mengelakkan perang saudara sesama sendiri.

“Tentu sekali tidak. Jawapannya ialah pendidikan satu aliran. Inilah formulanya yang akan menjamin kepentingan negara,” katanya.

Beliau yang juga Biro Pendidikan Perkasa mengajak pihak NERI dan pendokong UEC supaya berfikiran jauh, rasional dan berterima kasih kepada pemimpin terdahulu membentuk perlembagaan serta Dasar Pelajaran Kebangsaan yang meletakkan perpaduan nasional mengatasi segala kepentingan lain.

“Apakah pejuang UEC hendak kesampingkan Perlembagaan Negara dan teras utama ini? Kita tidak nafikan banyak pembaikan perlu dibuat ke atas sistem pendidikan sekarang dan perlu dibuat sepanjang masa.

“Jika kita mahu rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris dan Bahasa Mandrain, di samping Bahasa Melayu yang sedia menjadi bahasa kebangsaan, Perkasa menyokong supaya bahasa itu diajar di sekolah kebangsaan,” ujar beliau.

Bahkan, katanya, mungkin juga bahasa Arab dan Tamil sebagai bahasa pilihan.

NERI turut merangkumi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, Persatuan Graduan Dari Universiti dan Kolej China Malaysia, Persatuan Graduan Jepun di Malaysia, Merdeka University Bhd, Pusat Pengajian Cina Malaysia, Yayasan MySkill dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah Cina Malaysia. – MalaysiaGazette