Michael Kang

SUBANG JAYA – Persatuan Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (PPIKSM) sentiasa mendengar aduan dan permasalahan ahli untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada sebagai persediaan menghadapi persaingan dengan usahawan lain.

Presidennya, Datuk Michael Kang berkata, untuk bertindak sebagai saluran yang berkesan antara ahli persatuan dengan kerajaan, pihaknya mengamalkan falsafah 5S iaitu ‘Smart, Sensitive, Study, Solution dan Support’ (Pintar, Peka, Kajian, Penyelesaian dan Sokongan).

Jelasnya, beliau bangga setelah bertahan selama 22 tahun PPIKSM kini mempunyai keluarga yang besar yang menyumbang sebahagian daripada perolehan kepada pendapatan ekonomi negara.

“Ini satu penghormatan daripada negara kepada kami dan daripada kami kepada negara. Kami bangga kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa memberi sokongan dalam pelbagai bentuk kepada persatuan mahupun ahli.

“Selama lebih dua dekad, persatuan ini telah melalui turun naik dengan perniagaan masing-masing termasuk saling bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis Anugerah Perniagaan Platinum di sebuah hotel di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut Kang, PPIKSM yang ditubuhkan pada 13 Julai 1995 masih kekal dengan objektifnya mempromosi, memberi sokongan, perkhidmatan dan penyedian terhadap kepentingan perniagaan, terutama yang terlibat dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini.

Katanya, bagi meningkatkan ilmu perniagaan pihaknya menganjurkan banyak program berkaitan dengan persidangan, seminar dan pameran agar ahli berpeluang bertukar pendapat, pandangan serta pengalaman masing-masing.

“Kami juga terlibat secara aktif dalam dialog dengan pelbagai kementerian untuk memberi maklum balas kepada kerajaan mengenai keperluan PKS yang mewakili 99.2 peratus daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette