United Airlines heret penumpang keluar cetus kemarahan

CHICAGO – Tindakan United Airlines mengheret seorang penumpang keluar daripada pesawat yang melebihi tempahan itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Seorang pegawai keselamatan yang terlibat dalam insiden itu telah diarahkan bercuti sementara bagi siasatan.

Kejadian itu disebarkan melalui video menjadi tular di laman sosial, menunjukkan seorang lelaki menjerit selepas ditarik keluar daripada tempat duduknya dalam pesawat United Airlines 3411 sebelum ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare Chicago ke Louisville, Kentucky, semalam.

Lelaki itu dipercayai dari Asia ditarik keluar dari laluan pesawat dengan badannya yang lemah, mulut berdarah, cermin matanya senget dan baju tersingkap.

Video itu telah meningkatkan kemarahan orang ramai selepas perkhidmatan dan layanan kakitangan United Airlines dikritik hebat, kurang dari sebulan.

Pegawai keselamatan, salah seorang yang terlibat perbalahan itu tidak mengikut protokol, kata Jabatan Penerbangan Chicago dalam satu kenyataan.

“Tindakan pegawai keselamatan penerbangan jelas tidak dibenarkan oleh Jabatan,” kata kenyataan itu.

Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat juga sedang menyemak sama ada United Airlines telah mematuhi peraturan lebihan tempahan yang memerlukan syarikat penerbangan menetapkan garis panduan bagaimana penumpang dinafikan jika tidak mahu memberi tempat mereka secara sukarela.

Kejadian itu menjadi trending di Twitter mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Video kejadian itu dihantar ke Twitter @Tyler_Bridges menunjukkan tiga pegawai keselamatan berkerumun di sekeliling penumpang itu sebelum mengheretnya.

Bridges berkata, lelaki itu memberitahu kakitangan United Airlines bahawa dia adalah seorang doktor dan terpaksa pulang kerana perlu bertugas.

Syarikat penerbangan itu berkata, ia telah meminta sukarelawan untuk meninggalkan pesawat kerana perlu anak kapal tambahan bagi penerbangan itu

Ketua Eksekutif United Airlines, Oscar Munoz yang sedih dengan kejadian itu memohon maaf.

Bagaimanapun, cara permohonan maaf itu dikritik hebat di media sosial kerana langsung tidak menangani cara meminta penumpang memberi kerusi secara sukarela.

Kebanyakan pengkritik mempersoalkan adakah United Airlines akan mengheret penumpang itu jika dia bukan dari Asia. – MalaysiaGazette