SINGAPURA – Harga minyak naik dalam dagangan hari ini, meletakkan niaga hadapan minyak mentah di landasan yang betul untuk rekod keuntungan terpanjang sejak Ogos 2016.

Kenaikan itu dipacu selepas Arab Saudi dilaporkan melobi OPEC dan pengeluar yang lain untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran selepas separuh pertama 2017.

Niaga hadapan Brent yang menjadi penanda aras minyak antarabangsa didagangkan pada AS$56.40 setong pada 0117 GMT, naik 0.3% daripada harga penutup, sekali gus merekodkan paras tertinggi sejak Mac.

Jika kenaikan harga ini bertahan, ia menandakan peningkatan tujuh hari berturut-turut, mengatasi lonjakan enam hari dari Ogos 2016, meskipun kenaikan harga ketika itu adalah 17.5% berbanding peningkatan 6% dalam kenaikan semasa.

Harga hadapan minyak West Texas Intermediate (WTI) naik AS$0.16 atau 0.3% kepada AS$ 53.56 setong, juga tahap tertinggi sejak awal bulan lepas.

Peniaga berkata, harga naik adalah hasil daripada laporan bahawa Arab Saudi telah memaklumkan kepada pengeluar lain untuk melanjutkan pengeluaran selepas separuh pertama tahun ini.

OPEC dan pengeluar lain termasuk Rusia bersetuju untuk mengurangkan bekalan sekitar 1.8 juta tong sehari pada separuh pertama tahun ini untuk mengatasi lebihan bekalan minyak yang mengakibatkan harga jatuh. – MalaysiaGazette