Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) mengumumkan perkembangan mutakhir program pemerkasaan Bumiputera yang dihuraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Septembar 2013.

Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, rakyat berhak mengetahui kemajuan, kejayaan, kelemahan atau kegagalan program itu setelah hampir tiga tahun pelaksanaannya.

Kata beliau, Teraju perlu menghuraikan secara terperinci perkembangan itu bagi mengelakkan daripada dijadikan bahan retorik, sementara prestasi sebenarnya masih samar.

“Apa yang kita mahu tahu ialah perkembangan mengenai usaha mendaya modal Insan Bumiputera dan usaha memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Selain itu, menurut Ruhanie yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Bumiputera (Binaputera) Perkasa, Teraju juga perlu menjelaskan mengenai usahanya memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera.

“Dalam konteks ini, adakah pemilikan hartanah komersial yang merangkumi ruang pejabat, premis perniagaan, rumah kedai, kilang dan lain-lainnya turut dititikberatkan atau bagaimanakah pendekatannya?

“Ada beberapa lagi yang Teraju perlu jelaskan, antaranya, usaha organisasi itu memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, selain perkembangan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan,” jelas beliau.

Beliau berkata, rakyat terutama Bumiputera sudah lama menunggu penjelasan Teraju mengenai dasar, undang-undang dan peraturan khusus penyertaan mereka dalam pelaburan Republik Rakyat China (RRC) di negara ini menerusi strategi “One Belt and One Road” (OBOR).

Akhir sekali, kata Ruhanie, Perkasa mendesak agar segelintir komuniti bukan Bumiputera Malaysia memberhentikan aktiviti atau kenyataan berniat menimbulkan persepsi negatif mengenai agenda pemerkasaan Bumiputera. – MalaysiaGazette