Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan akan memberi insentif tambahan kepada peserta yang memenangi pingat emas dalam World Skills Competition (WSC) 2017.

Ujarnya, ia sebagai insentif tambahan sebagaimana yang diberikan kerajaan kepada atlet Paralimpik 2016 lalu yang menerima imbuhan RM1 juta selepas memenangi pingat emas.

“Mana-mana peserta yang wakili Malaysia dalam WSC yang dapat emas, kerajaan akan tambah dengan anugerah RM100,000 tunai.

“Kalau dapat dua (pingat emas) lebih baik, lima pun kerajaan sanggup biayai anugerah ini, ini motivasi saya berikan,” katanya ketika ucapan pelancaran Road To ETC Abu Ghani 2017 Gold di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Malaysia hanya merangkul pingat Gangsa pada pertandingan sama yang diadakan di Sao Paulo, Brazil dua tahun lalu.

Ia dimenangi Airul Firham bin Che Amran dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pereta dalam bidang dandanan rambut.

“Galakkan yang baik untuk tentukan peserta, pensyarah dan pembimbing dapat galakan. InsyAallah jangan beri peserta sahaja. Wang ini beri ke pensyarah, guru-guru, kita kena berada dalam negara taraf dunia,” katanya.

WSC diadakan setiap dua tahun sekali dan merupakan pertandingan kemahiran peringkat Olimpik dan disertai oleh belia-belia berkemahiran di seluruh negara dunia berumur 22 tahun dan ke bawah.

WSC 2017 akan disertai Carolina Eve Sambag, 20, dan Michelle Soo Lee Min, 21, yang merupakan pelatih Giat Mara Gaya, Inanam. -MalaysiaGazette.