KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri berkata peranan seseorang penasihat itu sangat penting kepada pemerintah.

Ia boleh menjadi penyebab kepada seseorang pemerintah itu berjaya atau sebaliknya, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Seseorang penasihat yang gagal, tambah Zahid, akan mengakibatkan sebuah kerajaan itu di ambang keruntuhan dek kerana penasihat gagal melaksanakan tanggungjawab dan hanya melakukan tugas demi kepentingan diri semata-mata.

“Pembentukan sebuah negara bangsa itu bukan saja terletak di bahu rajanya dan pemerintah tetapi juga pembuka politik (pemerintah) yang menerima nasihat daripada penasihatnya.

“Kebobrokkan (sesuatu pemerintahan) ini biasanya berlaku disebabkan oleh penasihat yang jadi ‘punahsihat’.

“Jika personaliti pemimpin itu yang baik tapi dirosakkan disebabkan penasihatnya (maka) akhirnya ia menyebabkannya dia (pemimpin) menjadi bobrok,” katanya ketika berucap melancarkan buku berjudul Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur petang tadi.

Buku tersebut ditulis Tan Sri Alies Anor Abdul yang merupakan bekas penasihat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Buku berkenaan antara lain mengisahkan peranan Imam Al-Ghazali sebagai penasihat ketika pemerintahan di zaman Bani Abasyiah dan Umaiyah.

Ahmad Zahid berkata, penulisan buku ilmiah itu melalui satu kajian metadologi perbandingan dan keharmonian terhadap ketokohan imam Al-Ghazali itu sendiri dan ia wajar diteladani.

“Ini bukan saja kajian akademik luar biasa tapi ia sangat istimewa, kontemporari dan inklusif. Banyak kajian saya lihat tetapi pendekatan dibuat Alies lain dan beliau memfokuskan kepada sahsiah dan siasah, ” katanya.

Ia dijual pada harga RM80 senaskah. -MalaysiaGazette.