Kamarulazman Habibur Rahman.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman mengumumkan peletakan jawatan daripada parti itu hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penaja PPBM Teluk Kemang berkata, keputusan itu dibuat berikutan perjuangan parti itu telah jauh lari dari matlamat asal penubuhannya.

Katanya, selepas ini kira-kira 800 ahli lagi yang sama-sama dengannya ketika menubuhkan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) akan keluar PPBM secara berperingkat.

“Saya keluar PPBM bukan kerana tidak dapat jawatan, malah saya yang tinggalkan semua jawatan. Rasanya saya paling banyak pegang jawatan.

“Saya kecewa kerana apa yang kita perjuangkan sebelum parti ditubuhkan telah dirosakkan oleh beberapa individu yang pentingkan diri dan ada agenda tertentu dalam parti.

“Perjuangan saya dari awal adalah untuk membawa Malaysia ke arah kecemerlangan. Ini tidak diperjuangkan PPBM selepas mendapat kelulusan ROS,” katanya pada sidang media mengumumkan pengunduran dari PPBM di sebuah hotel di ibu kota hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Kamarul memberitahu, individu yang dimaksudkan itu sering mengatakan mereka orang presiden dan orang timbalan presiden.

Katanya, pada mulanya beliau boleh menerima lagi tindakan individu terbabit menjual nama pemimpin tertinggi parti tetapi lama kelamaan perbuatan itu telah memudaratkan PPBM.

“Saya minta pucuk pimpinan parti tangani masalah ini tetapi tidak ada sebarang tindakan bahkan makin serius apabila individu ini diberi jawatan di peringkat negeri dan bahagian,” katanya.

Mengenai 800 ahli yang dikatakan akan keluar parti, Cikgu Kamarul berkata, mereka juga kecewa dengan kegagalan kepimpinan menterjemahkan perjuangan asal penubuhan PPBM.

Ujarnya, beliau tidak pernah paksa sesiapa yang pernah bersama GKCM mengikutnya tetapi mereka juga telah menyatakan hasrat hendak keluar parti.

“Saya akan kembali aktifkan GKCM ini sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dengan perjuangan menegur pentadbiran UMNO dan PPBM.

“Ini perjuangan sebenar kami sehingga tertubuhnya parti baharu, PPBM,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa individu dalam parti yang membuatkan mereka kecewa.

Cikgu Kamarul sebelum itu antara orang paling awal berjuang bersama-sama Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui GKCM. – MalaysiaGazette

Comments are closed.