Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz Al Saud.

RIYADH – Raja Salman Arab Saudi mengeluarkan perintah diraja supaya mengembalikan semula elaun kewangan untuk kakitangan awam dan anggota tentera yang telah dipotong di bawah langkah-langkah penjimatan sebelum ini.

“Perintah diraja mengembalikan semua elaun, faedah kewangan, dan bonus kepada penjawat awam dan kakitangan tentera,” kata perintah itu yang disiarkan melalui Ekhbariya TV.

Pada bulan September lalu, Arab Saudi memotong gaji menteri sebanyak 20 peratus dan menurunkan faedah kewangan pekerja sektor awam sebagai salah satu langkah drastik untuk penjimatan selepas harga minyak dunia menjunam.

Langkah penjimatan itu merupakan pemotongan kali pertama dilakukan kepada kakitangan kerajaan yang mewakili dua per tiga pekerja di Arab Saudi.

Januari lalu, harga minyak menjunam serendah sekitar AS$28 setong, selepas dua tahun merosot.

Sejak akhir tahun 2016, harga minyak kembali melonjak dengan minyak mentah Brent didagangkan di sekitar AS$52 setong berbanding harga purata AS$45 pada tahun lalu.

Menteri Negara, Mohammed Alsheikh berkata, Timbalan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, yang berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan, mencadangkan elaun diberi semula selepas kajian rasmi dan prestasi belanjawan yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama 2017.

Beberapa langkah pelarasan fiskal telah diambil dalam tempoh dua tahun lepas yang membawa kepada peningkatan yang kukuh dalam kedudukan fiskal kerajaan,” kata Alsheikh.

Gabenor Bank Pusat berkata, defisit perdagangan dijangka susut pada tahun 2017, mungkin bergerak ke dalam lebihan, manakala timbalan menteri ekonomi berkata, kerajaan telah mengurangkan defisit pada suku pertama tahun ini dengan lebih daripada separuh, sebahagiannya kerana pengurusan perbelanjaan berhemat kerajaan.

“Kami percaya langkah ini akan meningkatkan sentimen positif kerana permintaan dalam negeri pulih berikutan pendapatan boleh guna pekerja dipertingkatkan kerajaan,” kata Alsheikh. – MalaysiaGazette