Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Ghaddafi Mat Karim atas kematian anaknya, Mohd Thaqif Amin yang didakwa didera warden asramanya.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, beliau berkesempatan menziarahi di saat pelajar madrasah tahfiz itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 2.05 petang tadi.

Katanya, Pemuda PAN kesal dengan berita pemergian Allahyarham Mohd Thaqif yang dilaporkan mengalami kecederaan serius kedua belah kaki dan tangan, dipercayai akibat penderaan fizikal oleh kakitangan sekolah tahfiz berkenaan.

“Kami mendesak siasatan menyeluruh dan adil dijalankan agar pihak dan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Kita melihat kes penderaan kanak-kanak terutama pelajar sekolah semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal.

“Seharusnya pihak berkuasa memberikan perhatian serius kepada perkara ini agar insiden yang tidak diingini ini tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Allahyarham Mohd Thaqif yang dijadualkan menjalani pembedahan memotong tangan kanannya hari ini, bagaimanapun ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil.

Bagaimanapun, Mohd Ghaddafi memaklumkan anaknya itu yang telah kehilangan dua kaki sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Ismai, Johor, meninggal dunia petang tadi.

Menurut Faiz, Pemuda PAN mahu sistem pendidikan diperkasakan dengan menerapkan nilai kasih sayang, selain kesedaran perlu menjadi elemen penting dalam mendidik pelajar.

“Hukuman bukan langkah dan pilihan yang tepat dan bijak. Kanak-kanak dan pelajar seharusnya dijauhkan daripada sebarang bentuk hukuman fizikal,” katanya. – MalaysiaGazette