Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat merasmikan program Promosi Kesihatan Pergigian Golongan Keperluan Khas (Pendengaran) Peringkat Negeri Johor, di sini, hari ini.

JOHOR BAHRU – Hasil laporan bedah siasat pelajar madrasah tahfiz swasta, Mohd. Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi, 11, yang meninggal dunia semalam, akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, laporan penuh Hospital Sultan Ismail (HSI) berhubung kematian pelajar itu akan diberikan keutamaan.

“Proses bedah siasat akan menentukan apakah masalah penyakit serta bentuk tindakan yang ada dari segi kesan-kesan ke atas arwah.

“Jadi, ia akan mengambil masa dianggarkan sekitar dua minggu,” katanya selepas merasmikan program Promosi Kesihatan Pergigian Golongan Keperluan Khas (Pendengaran) Peringkat Negeri di sini hari ini.

Mohd. Thaqif Amin disahkan meninggal dunia pada 2.05 petang semalam di HSI selepas berada dalam keadaan koma dan tidak sedarkan diri apabila menjalani pembedahan membuang kedua-dua kakinya.

Kes pelajar itu menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lalu dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden di sekolahnya.

Pelajar itu kemudiannya terpaksa dipotong kedua kakinya kerana mahu mengelakkam jangkitan kuman ke atas tubuh badannya. – MalaysiaGazette.