Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar perlu meminta maaf kepada rakyat apabila membuat kenyataan mengelirukan sebelum ini dengan menghasut rakyat membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tetapi berubah fikiran menyokongnya semula baru-baru ini.

Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Fahariyah Md. Nordin susulan pengakuan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam ceramahnya di Pulau Pinang yang mengatakan
Pakatan Harapan tidak akan memansuhkan cukai tersebut sebaliknya mengurangkan kepada sifar.

“Saya mencadangkan agar Nurul Izzah memohon maaf kepada penyokong mereka yang telah bermati-matian berdemonstrasi di jalanan membantah GST kerana rupanya jauh di sanubari pembangkang, mereka juga mahu melaksanakan GST,” kata Fahariyah dalam satu kenyataan hari ini.

Farahiyah yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, menyifatkan Nurul Izzah hanya sekadar mahu menjernihkan keadaan selepas keputusan gabungan pembangkang membuat keputusan untuk mengekalkan cukai kontroversi yang sebelum ini mereka bantah dengan lantang.

“Setelah diserang bertalu-talu apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Pakatan Harapan akan meneruskan GST sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, kini dia cuba menjernihkan keadaan mengelirukan rakyat kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba memesongkan perhatian daripada salah urus mereka terhadap sumber awam melalui berita palsu.

“Mungkin Nurul Izzah terlupa apa yang diperkatakan semasa berucap di ceramah anjuran Parti Pribumi Bumiputera Malaysia (PPBM) di Pulau Pinang selain pelbagai kenyataan sebelum ini.

“Sesungguhnya, rakyat sudah muak dan jelik dengan sandiwara politik pembangkang yang sering mengeluarkan kenyataan tidak serupa bikin dan kemudian menyalahkan orang lain tanpa segan silu,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Nurul Izzah berkata, mengurangkan kadar GST kepada sifar peratus akan mengurangkan impak negatif GST apabila Pakatan Harapan diberi mandat untuk memerintah.

Bagaimanapun pada Ahad lalu dilaporkan Pakatan akan mengekalkan GST jika ia mengambil alih kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) meskipun tidak akan mengekalkan 6 peratus seperti sekarang.

Dalam pada itu kata Fahariyah, pembangkang sebenarnya malu untuk mengakui hakikat sebenar bahawa pelaksanaan GST adalah mekanisme terbaik demi ekonomi negara.

“Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat untuk berfikiran matang dan tidak mudah mempercayai apa yang diperkatakan oleh pihak pembangkang kerana telah banyak terbukti kenyataan mereka hanya satu manipulasi mengelirukan rakyat bagi menyemai sentimen kebencian kepada kerajaan sedia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak,” katanya. – MalaysiaGazette