Wajah terbaharu Eman Abd El Aty selepas menjalani pembedahan. foto Agensi

MUMBAI – Wanita Mesir yang dipercayai individu paling berat di dunia akan dipindahkan ke Emiriah Arab Bersatu selepas pembedahan yang dijalankan berjaya menurunkan berat badannya.

Hospital Saifee berkata, Eman Abd El Aty kini seberat 172 kilogram berbanding 500 kilogram sebelum ini.

Namun, kakaknya mendakwa para doktor berbohong dan merayu supaya dia terus berada di hospital berkenaan.

Satu kenyataan dikeluarkan oleh para doktor berkata, wanita itu akan menerima fisioterapi di Abu Dhabi kerana hospital di sana lebih hampir dengan kediaman dan keluarga Eman.

Para doktor gembira dengan usaha mereka berkata, Eman datang dengan pesawat kargo yang disewa khas tetapi pulang sebagai penumpang dalam pesawat kelas perniagaan.

Terdahulu, hospital berkenaan kecewa dengan dakwaan kakak Eman, Shaimaa Selim yang mendedahkan video memaklumkan wanita itu tidak boleh bercakap atau bergerak.

Malah, dakwanya berat badan Eman tidak banyak susut.

Eman juga katanya masih mengambil oksigen dan diberi cecair melalui tiub hidung ke perut.

Shaimaa khuatir Eman sukar menerima rawatan jika kembali ke Mesir dan mahu adiknya tinggal di hospital di India dalam jangka panjang.

Eman mengalami angin ahmar pada usia 11 tahun dan keadaan tubuhnya yang berat menyebabkan dia tidak pernah keluar rumah selama 25 tahun. – MalaysiaGazette