Rohani Abdul Karim

MELAKA – Anggota masyarakat terutama ibu bapa dan anggota keluarga perlu memberi rawatan pemulihan awal kepada anak-anak yang menghadapi masalah autisme, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, rata-rata anggota masyarakat masih kurang memahami sindrom autisme kerana kanak-kanak yang menghadapinya kelihatan normal seperti kanak-kanak biasa dan ia hanya dapat disahkan oleh pakar perubatan.

“Berdasarkan rekod pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga kini seramai 15,484 orang dikenali menghadapi masalah austime di seluruh negara.

“Dari jumlah tersebut 2,080 orang yang didaftar adalah berumur bawah enam tahun, 7,167 orang berumur tujuh hingga 12 tahun, 2,248 orang berumur 13 hingga 18 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 8th Walk For Autism at Melaka di Kota A”Famosa, Bandar Hilir hari ini. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk seri Idris Haron.

Rohani menasihati anggota masyarakat yang mempunyai anak, saudara mara atau kawan-kawan yang menghadapi masalah autisme agar segera mendaftar anggota keluarga mereka itu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Saya fahami masalah yang dihadapi oleh ibu bapa kerana bukan mudah untuk mengesan samada anak mereka menghadapi masalah autisme dan rata-rata hanya menyedarinya ketika anak mereka telah bersekolah.

“Kebanyakan guru sekolah dilatih untuk mengesan kanak-kanak menghadapi masalah pembelajaran dan kita harap dengan adanya program seperti ini orang ramai akan dapat maklumat bagaimana untuk mengenali anak mereka yang mempunyai masalah autisme,” katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian peka dengan masalah tersebut dan mencadangkan kepada Permata untuk menubuhnya Pusat Permata Kurnia untuk kanak-kanak autisme di setiap zon.

“Kos bagi membina pusat pemulihan kanak-kanak austisme melibatkan kos dan kepakaran yang tinggi, diharap dengan usaha bersama Permata ini dapat membantu seramai mungkin kanak-kanak yang bermasalah,” katanya.

Rohani berkata selain daripada mendapat rawatan pemulihan di Permata Kurnia, ibu bapa juga boleh menghatar anak mereka di 537 buah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara bagi mendapat kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang dilakukan khususnya oleh badan bukan kerajaan (NGO) dalam membina kesedaran orang ramai mengenai masalah autisme.

“Sebagai langkah awal kerajaan negeri akan menyediakan sebuah rumah milik kerajaan untuk dijadikan sebagai pejabat badan NGO memperhebatkan usaha tersebut,” katanya.  BERNAMA