WATFORD – Liverpool meraih kemenangan berharga 1-0 ke atas Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi menerusi jaringan Emre Can yang melakukan sepakan gunting menakjubkan pada jarak 15 kaki.

Jaringan tunggal perlawanan pada masa tambahan babak pertama itu membolehkan Liverpool kekal di tangga ketiga liga.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp kini hanya empat mata berada di depan penghuni tangga kelima, Manchester United yang masih berbaki satu perlawanan dalam tangan yang turut bersaing merebut slot Liga Juara-Juara.

Empat pasukan teratas akan layak ke kejohanan berprestij di pentas Eropah itu dan ketika ini, Chelsea dan Tottenham sudah sah mengisi dua slot utama.

Sementara itu dalam perlawanan tersebut, Can yang merupankan pemain kebangsaan Jerman berusia 23 tahun menjaringkan gol kelima musim ini dan menyifatkan jaringan itu adalah yang terbaik pernah dilakukannya.

Can yang tidak dikawal Nordin Amrabat bijak menyempurnakan hantaran lambung Lucas sebelum menyepak masuk di sebelah penjuru kanan gawang Watford. – MalaysiaGazette