Sesi fotografi bersama Penyanyi tanah air, Datuk Siti Nurhaliza pada Majlis Anugerah Aidilfitri Creation by Datuk Siti Nurhaliza di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Butik Creacion bakal membuka tiga lagi cawangan baharu selepas cawangan pertama yang lokasinya di Jakel Mall disini yang sudah beroperasi sejak setahun lalu.

Pengasasnya yang juga penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza berkata, kesemua cawangan itu terletak di Selangor iaitu Bangi dan Shah Alam selain di Johor Bahru.

Jelas wanita berusia 38 tahun, ketiga-tiga butik itu akan dibuka sebelum Ramadan ini dalam usaha memberi keselesaan kepada pelanggan membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Tahun ini, Creacion menawarkan koleksi istimewa merangkumi 40 rekaan dari Nostalgia Siries dan 15 rekaan dari The Premium Siries dengan cetakan eksklusif dan floral yang sangat memikat dan cukup segar.

“Tambah menarik dan sebagai memberi kelainan, koleksi kali ini mengangkat tema nostalgia dalam nuasa moden dengan mengilhamkam gaya biduanita lagenda Puan Sri Saloma.

“Jadi, saya menyasarkan jumlah jualan akan meningkat dua kali ganda berbanding pada jualan pertama tahun lalu,” katanya.

Siti ditemui pada majlis pertunjukkan fesyen dan pelancaran koleksi Creacion by Siti Nurhaliza Anugerah Aidilfitri 2017 di Hotel Royal Chulan di sini semalam.

Siti yang juga usahawan produk kecantikan, SimplySiti bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pelaburan yang dikeluarkan untuk tiga butik baharu itu.

Jelas penyanyi nombor satu negara itu, kesemua koleksi busana Creacion Anugerah Aidilfitri 2017 adalah ilham dirinya bersama pereka Creacion by Siti Nurhaliza bermula daripada proses rekaan, pemilihan fabrik sehinggalah ke proses pengeluaran dan pembuatan.

“Keanggunan dan sentuhan gaya Saloma suatu ketika dulu diterjemah dalam busana koleksi tahun ini yang lebih moden dan segar dengan sentuhan potongan klasik.

“Saya memilih tema nostalgia kerana setiap kalau bercakap tentang hari raya pasti membuatkan kita semua terkenang atau mengimbau kembali misalnya zaman kanak-kanak, momen-momen nostalgia yang kita tidak dapat lupakan sampai bila-bila.

“Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah antara ikon nostalgia sampai bila-bila, jadi dari situ juga timbulnya idea untuk saya kaitkan dalam konsep pertunjukkan fesyen saya hari ini di mana saya menyanyikan lagu petikan daripada filem allahyarham,” katanya.

Koleksi Creacion by Siti Nurhaliza bakal berada di pasaran bermula pada 10 Mei depan.

Creacion diasaskan oleh Siti dengan kerjasama Jakel Trading Sdn. Bhd. pada Mac tahun lalu bagi mengetengahkan koleksi ready to wear yang menyasarkan kepada golongan wanita yang mementingkan gaya dan ketrampilan.

Antara koleksi pakaian yang boleh didapati menerusi jenama Creacion ini ialah blause, jubah, seluar dan skirt panjang. – MalaysiaGazette