KUALA LUMPUR – Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat) menganjurkan program Nadi Sihat Jelajah Semarak ‘Bangkit Bersama’ Sukan SEA ke-29 yang berlangsung mulai 27 April lalu sehingga 6 Mei ini.
Program itu merupakan inisiatif Nadi Sihat dalam mempromosikan temasya Sukan Sea dan Sukan Para ASEAN yang akan berlangsung pada bulan Ogos dan September nanti.
Majlis perasmian dan perlepasan peserta jelajah disempurnakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Banggunan UMNO Ampang dekat sini baru-baru ini.
Pengerusi Nadi Sihat, Datuk Ismail Kijo berkata, selain bertujuan mempromosikan Sukan SEA, program jelajah itu bagi menyemarakkan semangat kebangkitan atlit-atlit negara supaya kita dapat mengulangi kembali kejayaan seperti mana yang pernah dilakarkan pada tahun 2011.
Jelas beliau, Malaysia pernah menjadi penganjur Sukan SEA yang berjaya dan pada masa sama menjadi juara keseluruhan Sukan SEA.
“Program ini sebagai satu platform terbaik dalam menyatukan ummah merentasi sempadan bangsa, agama dan negara di samping dapat menyemai dan melahirkan masyarakat yang sihat juga produktif.
“Selari dengan tema Sukan SEA kali ini iaitu ‘Bangkit Bersama’, program jelajah ini menjadi lambang kerjasama menyeluruh antara rakyat Malaysia bersatu “bangkit bersama” untuk memastikan penganjuran Sukan SEA pada tahun ini dapat diadakan dengan jayanya,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ampang.

Ismail memberitahu, program jelajah itu terdiri daripada tiga segmen utama iaitu konvoi berbasikal diwakili oleh 29 pengayuh dari Unit Berbasikal PDRM dan sukarelawan Nadi Sihat yang turut disertai oleh beberapa Orang Kelainan Upaya dalam memastikan promosi sukan paralimpik juga dapat dilaksanakan bersama seiring dengan promosi Sukan SEA ke-29.
Program itu turut melibatkan segmen kedua daripada pasukan yang bertindak mengedarkan satu juta risalah di tempat-tempat strategik dan menjadi tumpuan ramai.
Ujarnya, segmen ketiga pula, terdiri daripada kumpulan yang mengelola program jelajah ini di setiap persinggahan.
“Setiap lokasi hentian akan diadakan pelbagai program menarik bersama masyarakat setempat seperti mengimarah masjid, program senamrobik, memberi sumbang kepada ibu tunggal, aktiviti mendaki gunung, aktiviti kebudayaan dan kesukanan.
“Penjelajahan di Semenanjung dimulakan dari Ampang ke beberapa lokasi terpilih di Selangor kemudian ke Kelantan, Perak dan berakhir di Kuantan. Seterusnya sesi jelajah akan disambung ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Nadi Sihat, Fahisha Irwan berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mempelbagaikan lagi program kesihatan yang bersesuaian untuk disertai oleh semua lapisan masyarakat.
Peminat aktiviti sukan dan kesihatan dijemput untuk menyertai program-program yang dianjurkan oleh kami dan melontarkan idea untuk kami menambah baik program yang dianjurkan agar objektif pertubuhan untuk membantu kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat dapat dicapai
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program yang dijalankan oleh Pertubuhan Nadi Sihat, bolehlah melayari laman Facebook Pertubuhan Nadi Sihat. – MalaysiaGazette
















