Reaksi gembira Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang, Datuk Adam Rosly sambil mendukung anaknya Puteri Alissa Adam ketika masuk kedalam kereta selepas dibebaskan dengan ikat jamin RM300,000 kerana didakwa memberi keterangan dan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – PKR tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah berhubung enam pertuduhan yang dihadapinya berkaitan skandal rasuah dan kekayaan luar biasa.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab yang memberitahu, beliau tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kes Adam itu.

“Setakat ini saya belum dapat apa-apa. Lembaga Disiplin PKR hanya akan bertindak jika mendapat aduan rasmi daripada mana-mana pihak yang melaporkan,” katanya lapor sebuah laman portal.

Abdul Hadi turut memaklumkan tidak menerima sebarang aduan daripada Rafizi Ramli meskipun Naib Presiden PKR itu acap kali mengkritik dan menegur salah laku Adam secara terbuka.

Adam, 30, berdepan enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 April lalu.

Beliau didakwa memberi keterangan berkenaan untuk memperdaya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyiasat sumber kekayaannya.

Pemimpin muda PKR itu juga sebelum ini tidak berpuas hati dengan tindakan Rafizi yang membuat tuduhan seolah-olah dirinya sudah bersalah sebelum dibuktikan dan mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu berniat jahat kerana menyerangnya. – MalaysiaGazette