Siti Nur Manisya

KEPALA BATAS – Polis mengesahkan kematian seorang penuntut jurusan sains di Kolej Matrikulasi Kepala Batas di sini malam tadi adalah disebabkan terkena renjatan elektrik.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, mangsa terkena renjatan elektrik itu dipercayai ketika sedang membaiki penyambung plug di bilik asramanya.

“Mangsa, Siti Nur Manisya Mohd. Azmi yang berasal dari Georgetown di sini membaiki penyambung plug itu selepas selesai mandi di kolej kediamannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam tadi, Siti Nur Manisya ditemukan oleh rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik asramanya sebelum dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB).

Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital berkenaan.

Lebih memilukan, Siti Nur Manisya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu meninggal dunia kurang dua jam selepas keluar makan bersama ahli keluarganya di kantin kolej berkenaan.

Ibunya, Norsiah Shaari, 53, serta dua adiknya mengunjungi Siti Nur Manisya petang semalam untuk membawa pulang beberapa barangnya memandangkan dia akan menamatkan pengajian di kolej berkenaan esok.

Dalam pada itu, jenazah Siti Nur Manisya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hashim Yahaya, Jalan Perak, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi. – MalaysiaGazette