Mohamad Haziq Ammar Mohd Hussein, 28, dan Abdul Muhaimin Mohd Hasan, 34, membuat pengakuan itu selepas mengangguk faham pertuduhan terhadap mereka yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

PULAU PINANG – Dua penjaja yang bertindak melarikan lori milik Dewan Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Khamis lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mohamad Haziq Ammar Mohd Hussein, 28, dan Abdul Muhaimin Mohd Hasan, 34, membuat pengakuan itu selepas mengangguk faham pertuduhan terhadap mereka yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam tertuduh, M. Puveneswaran memohon mahkamah membenarkan mereka diikat jamin dengan jumlah yang munasabah iaitu dalam lingkungan RM2,000.

Ini kerana katanya, kedua-dua tertuduh hanya bekerja sebagai penjaja dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Mohamad Amin kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Husin.

Dalam kejadian malam Khamis lalu, Mohamad Haziq Ammar dan Abdul Muhaimin bertindak melarikan lori milik MBPP yang tidak dimatikan enjin di gerai makan hadapan Balai Bomba Bagan Jermal, Tanjong Tokong di sini, dalam usaha mengelak gerai mereka daripada disita.

Mereka kemudian memandu lori itu sejauh kira-kira dua kilometer dan berhenti membuat laporan polis berhubung tindakan MBPP tersebut di Balai Polis Pulau Tikus di sini.

Mereka turut merakamkan video perjalanan itu menggunakan telefon bimbit dan memuat naik rakaman selama hampir tiga minit berkenaan ke laman sosial sehingga menjadi tular.

Dalam video itu, mereka mendakwa MBPP hanya bertindak ke atas peniaga Melayu tetapi tidak mengambil tindakan terhadap peniaga kaum lain yang turut melakukan kesalahan. – MalaysiaGazette