Elizabeth Wong ketika majlis pelancaran kempen larangan menggunakan beg plastik tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor hari ini tampil menafikan pihaknya sudah membatalkan dasar caj 20 sen terhadap penggunaan plastik di negeri itu.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan caj berkenaan biar pun terdapat laporan bahawa dasar itu sudah tidak dilaksanakan di beberapa pasaraya sebelum ini.

“Mereka (peniaga) boleh dikenakan denda sehingga tiga kali, selepas itu lesen mereka akan ditarik balik,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

Malaysia Gazette sebelum ini ada membuat laporan ada beberapa pasaraya di Shah Alam dan Klang telah menghentikan caj 20 sen untuk penggunaan beg plastik kepada pelanggan atas arahan pengurusan mereka.

Ia diberikan secara percuma kepada pelanggannya dengan alasan menerima arahan daripada pihak pengurusan.

Dalam laporan berkenaan, Malaysia Gazette turut memberitahu, pembaca bahawa tindakan itu tidak pasti samada arahan daripada kerajaan negeri atau hanya atas dasar keprihatinan pasar raya berkenaan sahaja.

Caj penggunaan plastik dan polistirena dikuatkuasakan kerajaan negeri itu mulai 1 Januari lalu di semua premis perniagaan.

Menerusi kempen itu, setiap pasar raya dikenakan beberapa syarat antaranya tidak lagi membekalkan secara percuma beg plastik kepada pelanggan.

Sebaliknya pengguna terpaksa membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang digunakan ketika membeli belah di negeri itu. -MalaysiaGazette.

 

Caj 20 sen beg plastik ditarik balik?