Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Memang biasa murid didenda kerana lewat datang ke sekolah. Tetapi apa pula tindakan yang dikenakan ke atas guru yang terlewat?

China Press melaporkan, seorang guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di ibu negara dilarang memasuki sekolah dan dipaksa mengambil cuti tanpa gaji selama sehari kerana lewat sampai ke sekolah.

Keadaan yang dilaporkan berlaku pada Mac itu telah mencetuskan perbincangan hangat apabila ada ibu bapa yang berpendapat pihak sekolah membuli cikgu berkenaan.

Pihak sekolah bagaimanapun menjelaskan bahawa cikgu berkenaan telah lewat ke sekolah berulang kali sehingga tindakan tegas perlu diambil.

Terdapat laporan mengatakan bahawa cikgu tersebut pada hari kejadian tiba di sekolah pada pukul 7.15 pagi iaitu lewat 15 minit berbanding masa yang ditetapkan pihak sekolah.

Guru besar dan dua orang guru disiplin dilaporkan menghalang rakan pendidik mereka yang lewat itu untuk memasuki sekolah dan memintanya mengambil cuti tanpa gaji selama sehari.

Sesetengah ibu bapa mempertikaikan pihak sekolah tidak berhak mengambil tindakan denda tersebut memandangkan Kementerian Pendidikan tidak mewajibkan guru sampai ke sekolah sebelum pukul 7 pagi apatah lagi waktu persekolahan rasmi ialah 7.30 pagi.

Guru besar bagaimanapun menjelaskan bahawa cikgu yang lewat sebenarnya tiba di sekolah selepas pukul 7.30 pagi, bukan 7.15 pagi yang didakwa sesetengah pihak.

Menurutnya lagi, cikgu itu hampir lewat setiap hari sejak ditukarkan daripada sesi petang kepada sesi pagi sejak 2014.

Walaupun perbincangan telah diadakan dan surat amaran dikeluarkan, tetapi cikgu tersebut masih lewat sampai ke sekolah.

Lembaga pengelola sekolah ketika dihubungi pula memberitahu, proses pembelajaran diawalkan ke pukul 7 pagi kerana sekolah tersebut mengadakan kelas pengukuhan bahasa Inggeris. – MalaysiaGazette

Comments are closed.